Tag Archives: datuk seri najib tun razak

Pabila murai disumpah Sang Gedembai

Baru-baru ini rakyat Malaysia digemparkan dengan dakwaan oleh pihak-pihak tertentu yang berusaha menjejaskan reputasi dan imej YAB Perdana Menteri berhubung kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Thaipusam di Batu Caves. Mufti Perak itu sebelum ini dipetik sebagai berkata orang Islam yang merestui dan turut serta dalam upacara keagamaan lain melakukan perbuatan syirik. Kenyataan oleh Mufti Perak yang sebelum ini ditempelak dan diserang oleh kelompok yang sama kini ditelan dengan enak umpama ‘Vanila Coklat’. Serta merta ianya dijadikan modal menyerang siapa saja bermodalkan kononnya fatwa Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria. Ayat suci dan hadis silih berganti diputar-putar untuk mengeksploitasi dan memanipulasikan isu baru yang dijangka mampu meruntuhkan kredibiliti YAB PM. Sesiapa saja yang berusaha menegakkan kebenaran dianggap lemah dan jahil kerana tidak membaca dan memahami fatwa Tan Sri Harussani.

Namun sebaik saja Mufti Perak tersebut menjelaskan bahawa kenyataannya diputar belit pihak tertentu, dan tidak menyalahi hukum syarak serta berkata sebagai seorang pemimpin tidak salah untuk Perdana Menteri bersama-sama dengan bangsa lain dalam perkara yang berkaitan dengan adat, pihak yang umpama merayakan upacara Thaipusam berpunca daripada kenyataan Mufti Perak ini terus berdiam diri umpama batu yang disumpah Sang Gedembai.

Inilah natijah daripada keputusan dan tindak tanduk yang diasaskan daripada emosi yang dicanai daripada virus ketaksuban yang ekstrim ditambah dengan kejahilan duniawi dan maknawi. Sebaliknya erti kejahilan itu dilontar kepada pihak lain yang tidak sealiran dengan mereka ataupun kabilah yang mereka kuasai. Tidak jahil apabila berada di langit yang sama dengan mereka serta memuntahkan najis yang sama seperti mereka. Alim bagi mereka hanya berpusat kepada setinggi mana usaha eksploitasi dan manipulasi ayat-ayat suci Al-Quran demi kerakusan kuasa dan tamak haloba yang tidak berpenghujung. Selainnya adalah jahil tahap pembeli tiket ke neraka dan mereka pula sudah menempah tiket percuma khas untuk mendiami syurga tingkat tertinggi. Astaghfirullah dan mengejutkan sikap dan pendekatan golongan yang hanya istiqamah melabel orang lain sebagai kafir dan jahil dalam ertikata kelompok mereka dengan ditambah intonasi yang amat busuk.

Ya Allah, jauhilah penyakit yang membusuk dan membarah dalam masyarakat sehingga kemerdekaan fikiran, jiwa dan jasad yang dilahirkan merdeka menjadi hamba kepada syaitan yang dicipta tangan-tangan mereka sendiri..

Wallahualam

HNBK