Along Bukan Abang Long

Sejak beberapa hari lalu, ucapan dan Salam Lebaran semakin meningkat momentumnya berbalas pelbagai kata-kata dan madah yang terpantul dari rongga fikiran umat Islam sehinggakan menjangkiti yang bukan Islam untuk turut berbuat demikian akibat terpanah aura 1Malaysia. Tak cukup email, facebook, twitter, blog, sms, what’s app msgr, blackberry msgr dan macm-macam lagi application yg membolehkan sesama manusia berhubung. Matlamatnya adalah menzahirkan ungkapan Salam Lebaran dan Maaf Zahir Batin mengikut selera masing-masing. Yang biasanya mengeja tak betul tiba-tiba muncul dengan bahasa yang amat menggerunkan dan ada yang amat petah sekali. Mungkin dengan bantuan rakan, ciplak, “copy paste” dari website dan sebagainya. Apa pun ianya amalan baik mengingati sesama kita khususnya bila perpecahan umat Melayu kian melebar.

Apa yang mencuit fikiran saya ialah bila melihat poster-poster kecil ditampal dengan nombor telefon bimbit tertera pinjaman mudah di batang-batang pokok. Ianya membuat saya memikirkan kita semua bergembira untuk menyambut lebaran sedang masih ramai yang bergelumang dengan hutang dan dikejar Along akibat kesesakan untuk membayar hutang. Ini Along bukan Abang Long atau bapa saudara kita. Ini jerung yang meratah mangsanya tanpa belas kasihan.

Kita dah banyak dengar mengenai peminjam yang menderita akibat perbuatan Along. Mereka boleh bertindak di luar batas kemanusiaan hinggakan sanggup menyiksa dan membunuh peminjam yang tidak mampu melunaskan pinjaman mereka. Kesalahan utama memang di pihak peminjam kerana hanya pandai pinjam wang tapi tak pandai nak langsaikan. Sepatutnya nilai dulu samada mempunyai kapasiti membayar sebelum “putting your head on the chopping board”. Faktor terdesak mungkin menjadi menyebab mengapa ramai peminjam sanggup menggadai nyawa semata-mata untuk mendapatkan pinjaman

Namun tidak harus dilupakan tanggungjawab sebagai pemerintah dan penguasa yang diamanahkan kepada kita. Seperti ibubapa, walau senakal mana anak-anak kita, tanggungjawab sebagai ibubapa tetap ada. Di mana janji keprihatinan pemimpin yang mendahulukan rakyat? Jika wang zakat saja diambil kira, sudah hampir sebahagian besar golongan asnaf tidak terjebak dengan perangkap jerung-jerung ini. Di mana program bantuan golongan miskin dan pinjaman mudah tetapi payah ini? PDRM yang begitu hebat apabila isu Along ini tersebar seperti dijangkiti virus HHTA (Hangat-Hangat Tahi Ayam). Kini apa jadi dengan tindakan terhadap along-along ini? Di Malaysia ini seperti sudah terpahat di kepala rakyatnya bahawa tindakan semuanya mesti disusuli selepas tragedi. Masih segar di mata saya 2 lelaki di rantai seperti binatang oleh along dan disiarkan secara meluas di dada-dada akhbar betapa kejamnya along ini bertindak terhadap mangsa akibat hutang gagal dilunaskan. Saya juga faham perasaan along yang hutang dijanjikan tidak dibayar. Saya berpendirian bahawa sebarang tindakan seharusnya berdasarkan undang-undang dan tidak bermaksud membela golongan yang berhutang sebab saya tidak pun berhutang dengan along untuk saya membenci along. Puncanya adalah tindakan yang tidak konsisten pihak berkuasa serta di mana janji untuk membantu rakyat.. Jika bank boleh memberi kredit mudah dengan caj perkhidmatan yang rendah boleh diperolehi mustahil mereka yang terjebak ini mudah diumpan untuk menjadi mangsa along.

Di hari baik bulan baik ini, insaflah wahai pemimpin, pihak berkuasa, diri saya sendiri dan para sahabat-sahabat semua tentang nasib mereka yang kurang bernasib baik. Tidak mampu membantu dengan wang, bantulah dengan jawatan dan pangkat serta kuasa yang ada untuk memakmurkan bangsa dan negara dan akhirnya agama pasti akan terbela.

Salam

Ibn Khaldun

 

Advertisements

Shape up or ship out

Banyak yg diperhatikan di negara ini khususnya di Perlis yang menyebabkan rakyat semakin muak dgn sikap bermuka-muka, sikap wakil rakyat yang lesu ibarat melukut di tepi gantang. Ada tak berlebih, tak ada tak mengurang. Dalam sistem politik Umno pula, sesiapa ahli Umno yang menentang kepimpinan..atau mengkritik kepimpinan akan di ‘hilangkan’ atau ‘dipetisejukkan’. Yang tinggal adalah ‘yes-man’ atau tukang angguk. Umno tidak dapat menerima kepelbagaian pendapat sebaliknya mahu semua orang ikut cakap pemimpin. Ini yang dikatakan oleh Hisamuddin Rais “pembonsaian minda”.

Malahan lebih menyedihkan jika agensi atau badan yg bertanggungjawab membantu UMNO dan kerajaan bersikap lebih politisi dari politisi. Mengipas kalahkan kipas kapal terbang dan jek kalahkan jek lori. Sewajarnya kewujudan kita diselarikan dgn objektif penubuhan organisasi itu sendiri. Jika politisi tidak berganjak dan enggan menerima perubahan maka biarkan mereka pupus sepertimana nasib dinasour yang pupus akibat keengganan menerima perubahan. Apa yang penting adalah amanah dipertanggungjawabkan harus dijalankan atas prinsip-prinsip yang digariskan walau seberat mana sekalipun ia. Berkatalah benar walaupun pahit.

Kita seharusnya memiliki tekad yg kuat. Dalam buku Dialog Peradaban mencatatkan “Tekad merupakan indikator keberdayaan dan kekuatan keperibadian. Tekad menjelaskan keutuhan pribadi seseorang. Bahawasanya di antara fikiran dan tindakan seseorang tidak ada jarak sama sekali; bahawasanya diantara fikiran dan tindakan seseorang tidak ada rintangan yang dapat mengahalangi. Tekad ibarat lebuhraya yang luas bagi fikirannya untuk menjelma menjadi tindakan nyata dalam waktu yang sangat cepat”. Oleh yang demikian, bertekadlah kita untuk berubah sebelum diubah. Kesukaran berubah bukan disebabkan ia tdak boleh diubah tetapi lazimnya disebabkan kepentingan diri mengatasi kepentingan umum, bangsa, agama dan negara. Pernahkah kita menyaksikan bagaimana seorang buta menjadi ulama? Sebuah pasukan kecil mengalahkan pasukan besar? Seorang anak yatim piatu menjadi konglomerat? Seorang yang lumpuh mampu berjalan normal? Keajaiban-keajaiban ini dijelaskan dengan baik oleh kekuatan tekad.

Saya mendoakan agar perasaan benci yang ada di kalangan rakyat terhadap tingkah laku dan perlakuan politisi khususnya UMNO dan MCA di Perlis tidak melarat hingga ke peringkat memuntahkan kebencian tersebut di peti undi hinggakan musuh BN kekenyangan dek perbuatan UMNO dan MCA yang gagal memenuhi aspirasi pengundi yang semakin terbuka minda dan mata mereka.

Salam

HNBK

Wahai Ramadan ku ketuk pintuMu dengan salam

Salam..

Hari ini bermulanya ibadah puasa di bulan Ramadan yang sejak lama ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan umat Islam tanpa mengira bangsa, jantina, status kerjaya dan sebagainya di negara ini. Seperti di tahun-tahun yg lalu, kemeriahan bazar Ramadan di merata tempata dan pelusuk kampung dan bandar dipenuhi dengan juadah yang pelbagai serta menyentap nafsu serta membelit lidah yang ternanti-nanti air dan makanan untuk disentuhnya. Pesta makanan di bazar Ramadan saban tahun juga bukanlah refleksi terhadap semangat Ramadan yg mendisiplinkan diri umat Islam serta penghayatan bagi pengamalnya untuk lebih berjimat cermat di pihak pembeli sementara penjual mencari rezeki yang halal dan penuh keberkatan. Si pembeli dengan rakus dan tahap kesabaran yang menipis ditemukan dengan penjual yang tamak dan menjadikan peluang yang terhidang untuk menyembelih mangsa-mangsa yang sememangnya dengan penuh kerelaan untuk dimangsakan. Apakah ini intipati puasa sebenar yang menjadi matlamat atau hanya trend atau fesyen sepertimana juga pemakaian tudung menutup aurat di kalangan wanita sehingga rambut di tutup sedang bahagian lain luas terhidang menjadi santapan mata dan imaginasi pencinta-pencinta keindahan ciptaan yang Maha Besar. Roh dan jiwa puasa dalam erti kata sebenar dilupa dan diketepikan dengan satu matlamat agar makan dan minum dihindarkan dalam tempoh berpuasa sedang yang lain hanyalah ungkapan dan gemaan para ustaz dan ustazah, pendakwah bebas dan tidak bebas, para ilmuan dan yang lainnya samada di corong radio, TV mahupun di masjid serta surau. Akhirnya ibadah puasa hanya menjadi gelanggang Raja Lawak dan gelanggang menguji kekuatan siapa kuat menahan lapardan dahaga sehingga detik berbuka puasa pula menjadi gelanggang siapa paling kuat melahap juadah dan minuman yang lazat dan mewah hingga akhirnya terbaring seperti mangsa langgar lari di jalan-jalanraya.

Sikap dan tindak tanduk di tempat kerja juga masih di takuk lama sepertintidak berpuasa malahan lebih menyedihkan berbanding sebelum ibadah puasa dilaksanakan. Sikap memonteng kerja dan curi tulang meningkat, sikap sambil lewa dan cuai menjadi amalan, produktiviti juga merudum dengan ketara sehingga yang bukan Islam memahat label yang membina persepsi mereka bahawa bulan puasa pastinya kesemua unsur-unsur ini pasti berlaku sehingga menjadikan Islam itu sebagai penghalang kemajuan dan pembangunan ummah, ekonomi dan tunjang kepada kekuatan bangsa dan agama.

Ibadah puasa sepatutnya menjadikan umat Islam lebih bertimbangrasa, lebih komited dan jujur serta amanah dalam melaksanakan tugas, rohani dan jasmani bertambah kuat serta tabah dan yang penting pembinaan sahsiah yang menjadi contoh kepada bukan Islam untuk terpaut pada keindahan Islam itu sendiri. Namun ini semua bagaikan mimpi yang sentiasa berulang setiapkali Ramadan menjengah kita dan akhirnya memberikan salam untuk ketemu lagi di tahun hadapan dengan nilai serta pegangan yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Niat untuk menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini lebih merupakan mainan lidah yang dijelir terkejut segala makhluk yang melihatnya dengan rupabentuk cabang-cabang seperti pepohon rendang…

Wallahualam

HNBK

Catatan yg pinggirkan

Salam..
Jika Goenawan Mohamed dari Indonesia begitu terkenal dan tersohor dgn catatan pinggirnya maka aku telah diterbalikkan dengan perkataan hampir sama namun tidak serupa. Aku telah meminggirkan catatan-catatan yang sewajarnya dikongsi demi pengayaan ilmu walaupun mempunyai nilai dan daya fikir yang agak kecil berbanding dengan pemikir dan tokoh ilmuan sejagat. Aku lebih pentingkan diri dari manfaat ilmu namun sesekali hati dan jiwa disentap oleh fitrah yang mengalir dan sebati dalam diri aku agar kembali bersama-sama para da’ie dan murabbi lain memukat ilmu dan pengalaman untuk terbang dan menyergah bumi dengan rahmat Ilahi.

Aku berjanji pada diri sendiri untuk menjadi lebih baik hari ini dari semalam dan esok dari hari ini. Sekurang-kurangnya bait dan huruf walaupun sedikit akan menyerlahkan rahmah yang SATU untuk kita.

Salam

Let bygone be bygone

Adian Husaini (@adian_husaini) has shared a Tweet with you:  “pepatah: Masa lalu memang akan selalu menjadi bagian hidupmu, tapi tak berarti itu harus mengendalikan masa depanmu. -@AidiMs #pepatah” –http://twitter.com/pepatah/status/80911115634229248

Ops 3b dan tafsirannya

Salam

1. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 62 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram serta pelbagai kesalahan lain dalam ‘Operasi 3b’ yang diadakan sepanjang minggu ini. Mereka terdiri daripada 53 lelaki dan sembilan perempuan berusia antara 24 hingga 53 tahun.

2. Sebenarnya kegiatan yang merugikan kerajaan dan negara ini sudah membiak dan berakar umbi sejak sekian lama dan membuatkan rakyat merasa mual dan termuntah dengan gelagat seumpama ini. Jiran-jiran dan rakan-rakan pegawai kastam telah melihat perlakuan yang bermewah-mewah dan bermegah-megah yang sekali fikir sudah memahami bahawa ianya diluar kemampuan sebenar pegawai-pegawai kastam ini. Tidak dinafikan bukan semua yang mengamalkan sikap mengkhianati negara seperti ini. Namun yang jelas, ianya merupakan ‘open secret’.

3. Jika masyarakat yang melalui pintu sempadan negara yang hanya membeli sekilo beras atau lain-lain barang yang tahap kesalahannya terlalu kecil dirampas dan diherdik namun yang berkontena bebas melalui sempadan dengan senyum penuh kebanggaan mendabik dada setelah penguatkuasa melambai-lambai seolah-olah kekasih meninggalkan rumah untuk berjuang demi negara.

4. Jumlah kerugian setahun saja mencecah ratusan bilion ringgit yang setidak-tidaknya boleh menampung subsidi keperluan rakyat termasuk bahanapi dan barang kawalan yang menjadi punca kenaikan harga barang dan inflasi yang membebankan rakyat miskin dan golongan marhaen. Semua ini lah yang menjadikan kerajaan di mata rakyat tidak prihatin dan hanya retorik dalam melaungkan slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Di manakah sebenarnya kedudukan rakyat jika rakyat didahulukan dalam soal menanggung beban kenaikan harga barang, tol, kenaikan harga bahanapi dan lain-lain. Punca pendapatan tetap sama dan sama. Ibubapa yang mengharapkan ihsan anak-anak tetap bergelut dengan jumlah yang sama setiap bulan sedangkan keperluan barangan telah menghakis kuasa beli mereka. Ya Allah!!!! apakah ini semua sengaja dibuta dan dipekakkan oleh kita semua yang bergelar pemimpin yang menggelarkan diri sendiri pemimpin berjiwa rakyat dan melata bersama rakyat dan juga menangisi penderitaan rakyat?

5. Perasuah-perasuah kekal menjadi perasuah dan pemberi rasuah kekal dengan status quo tersebut dengan harapan situasi menang-menang ini berterusan dan mengisi tembolok masing-masing. Akhirnya yang kaya bertambah kaya dan yang miskin papa-kedana. Apakah keadaan ini yang menjadi aras pengukur menuju negara maju? Nauzubillah jika ini yang disasarkan dan sebaik-baiknya masih belum terlewat untuk kita sama-sama memperbaiki kapal yang masih belum tenggelam.

Adian Husaini

Gagasan lose lose situation

Salam…

2.    Gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan YAB Perdana Menteri (PM) nampaknya semakin menampakkan keserasian dan kesan positif ke arah merealisasikannya. Di Perlis Kaum Melayu dan Cina sudah mencapai tahap integrasi kaum yang mencerminkan pembudayaan Negara Bangsa yang diimpikan. Namun, yang agak mengecewakan adalah gagasan ini hanya menumpukan kepada perpaduan usaha dan kerjasama antara dua kaum terbesar ini melalui usahasama memunggah khazanah negara iaiatu hasil daripada hasrat murni kerajaan membantu rakyat melalui subsidi bahanapi. Taukeh-taukeh Minyak petrol dan diesel berbangsa Cina  di negeri ini mengaut keuntungan dengan jumlah kuota tanpa had banahapi (Mega Sales) yang diberikan dengan mengambil kuota yang diberi kepada stesen-stesen minyak di kawasan atau daerah kecil yang tidak dihabiskan dan bahanapi ini akan dihantar ke stor minyak mereka untuk dipunggah ke negara jiran.

3.      Sementara yang berbangsa Melayu pula menjadikan ianya sumber pendapatan tetap dengan memunggah bahanapi subsidi ini untuk dijual ke negara jiran dengan mengubahsuai tangki kereta-kereta lama khususnya proton saga dan Iswara sehingga 500 liter dapat dimuatkan sekali isian. Dari sini wujudlah pula bengkel haram untuk mengubahsuai tangki-tangki tambahan di bonet belakang dan tempat duduk belakang kereta tersebut. Tujuannya hanya satu iaitu memunggah seberapa banyak mungkin samada petrol mahupun diesel ke negara jiran dengan matlamat membangkrapkan negara. Yang penting kantong dan perut masing-masing dapat dibuncitkan. Stesen minyak pula meriah bagaikan pesta Jom Heboh TV3 tanpa mengenal siang ataupun malam. Stesen dah tutup pun masih tekun menyedut bahanapi ini ke dalam kereta Batman-Batman di sini,

4.     Apa yang nak dibimbangkan penyeludup dan penyeleweng bahanapi ini kerana semua kelemahan undang-undang dan apa jua masalah yang bakal timbul telah dimaklumkan oleh agensi penguatkuasa yang terlibat hatta kepada apa juga yang dibincangkan dalam sebarang mesyuarat berhubung perkara ini dengan pantas dan lengkap dimaklumkan kepada penyeleweng dan penyeludup bahanapi bersubsidi ini. Dalam mesyuarat hanya mengangguk dan memberi pelbagai alasan yanag hanya selayaknya digunakan kanak-kanak kecil hingusan. Pemidato rancangan adik-adikku lebih baik 100 kali ke hadapan dalam soal ini. Kalau kanak-kanak diupah susu maka penguatkuasa pula diupah apa ye sehingga sanggup menjadi hamba sahaya kepada pengkhianat yang tak berhati perut seperti ini. Apa lagi yang mampu dilakukan jika yang lemah adalah makanan yang kuat dan yang bodoh pula menjadi makanan yang cerdik. Soalnya siapa yang bodoh dan siapa yang cerdik dan siapa yang lemah dan siapa yang kuat ?

5.     Apakah akhirnya yang cuba menerapkan budaya berintegriti dan menjunjung amanah yang diberikan rakyat akan menjadi mangsa keadaan dan diruntuhkan semangat dan meruntun jiwanya agar sama-sama bergelumang dengan jenayah yang dilihat sebagai lumrah dan sebaliknya memandang jijik penjenayah yang mencuri beberapa biji buah mangga jiran ataupun meragut dompet berisi RM5 sedangkan penjenayah sebenar ini merompak dan menyamun harta rakyat dan negara berbilion-bilion ringgit. Tak hairan upah menutup mulut, memekakkan telinga dan membutakan mata  penguatkuasa juga bukan sedikit jumlahnya. Malahan ada ketikanya extra service dilakukan penguatkuasa kepada penyeludup dan penyeleweng bahanapi bersubsidi walaupun jumlahnya tetap sama dengan menjadi pemberi maklumat ataupun informer samada bocorkan maklumat operasi ataupun hasil mesyuarat yang dibuat berkaitan perkara ini.

6.     Malaysia ku yang tercinta…. bangunlah kamu demi maruah dan masa depan generasi akan datang. Maruah bangsa, agama dan negara bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi. Biar miskin harta jangan miskin budi,  biar hidup miskin jangan berhambakan syaitan dan biar hodoh rupa jangan hodoh tingkahlaku kita….

Untukmu Malaysia

Adian Husaini