Category Archives: Uncategorized

Jika itu bukan sintetik

Salam..

Peristiwa 911 atau 11 September sering dikaitkan dengan konspirasi terhebat abad ini. Manakan tidaknya, penceritaan, kronologi dan fakta serta bukti-buktinya lebih bersifat sintetik. Jika bukan sintetik, maka jawablah soalan-soalan mudah ini untuk sama-sama kita berusaha meyakini diri.

1. Apakah armada udara, laut dan darat US yang tersohor kehebatan dan kecanggihan tidak mampu mengesan, memusnah musuh yang memasuki ruang udara negara paling berkuasa itu?

2. Di manakah kelompok yahudi di WTC ketika kejadian?

3. Di manakah bukti-bukti pentagon di ceroboh dan diserang?

4. Pelik dan aneh bangunan yang runtuh hanya bangunan yang disasarkan dan tidak langsung melibatkan bangunan lain?

5. Mayat-mayat dan DNA penyerang tidak dibuktikan secara jelas sepertimana apa yang dilakukan terhadap Osama yang dibuang ke laut.

Berbagai lagi persoalan yang timbul namun ianya dipadamkan demi memenuhi nafsu serakah US.. Jika ada perbincangan yang didasarkan pada ilmu dan fakta alangkah baiknya… Jika sintetik maka ianya apa?

Wallahualam

Detik Akhir Zaman

Salam…

Kita sering didengungkan dengan ungkapan ‘sudah akhir zaman’.  Sejauh mana kita begitu yakin bahawa kita sekarang berada pada detik akhir zaman? Tidak pula saya berhasrat untuk menafikan bahawa tanda-tanda akhir zaman tidak ada dan sememangnya ianya sudah banyak dapat dilihat di sekeliling kita. Namun secara rasionalnya, bila kita menyebut tentang destinasi ke destinasi pastilah ianya mempunyai jarak tertentu yang membolehkan kita mendakwa kita berada di mana sebenarnya. Ungkapan ini seolah-olah menjadi mainan bibir sehingga kita keliru dan tidak lagi gentar dan bimbang dengan ungkapan tersebut lantaran terlalu murah dilelong oleh segenap lapisan masyarakat yang hanya pandai berkokok tanpa menghasilkan telor.

2.  Mengingati mati dan kiamat itu sebenarnya bagus namun pada masa yang sama jangan lah ianya dilontar ke sana sini tanpa sedetikpun perasaan kesal dan bimbang terhadap ancaman terhadap mereka yang engkar pada perintah Allah swt. Disebabkan itulah kita sering diingatkan oleh para ulamak dan umarak tentang bahayanya menggunakan agama Islam sebagai senjata untuk politik, untuk menegakkan yang salah dan untuk kepentingan kuasa semata-mata, dan ini disentuh oleh Bekas Mufti Perlis Profesor Madya Dr Asri Zainul Abidin ketika berucap pada majlis Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 di ibu negara, hari ini.  Bekas Mufti Perlis itu turut  menggesa pemimpin-pemimpin politik supaya berhenti daripada menggunakan agama sebagai “senjata politik” kerana ia dilihat merendahkan martabat Islam dan boleh mengelirukan orang ramai.

3.  Manusia memang memerlukan agama kerana ianya adalah fitrah. Agama, jika diamal dengan betul ia mampu mendatangkan kesejahteraan di dalam masyarakat. Tetapi bila ia disalahgunakan untuk kepentingan sesetengah pihak – ia adalah satu malapetaka yang maha dahsyat. Proses pembodohan melalui agama mendatangkan hasil yang lumayan. Agama dijadikan sebagai medium untuk mencapai sesuatu matlamat dan ia adalah senjata merbahaya, terutamanya agama Islam dimana kebanyakan penganutnya bersikap taksub dan fanatik. Kata-kata Karl Marx patut dikaji semula secara adil. Beliau mahu masyarakat berfikir dengan bersandarkan pada realiti. Proses pembodohan umat melalui agama menyebabkan masyarakat Eropah menjadi mundur dalam segala bidang. Bukannya beliau bermaksud untuk menggalakkan masyarakat tidak mempunyai pegangan agama namun agamawan yang bijak dan ikhlas tidak akan sekali-kali mempergunakan agama untuk meraih sokongan.

Wallahualam

 

 

Lain Penyakit Lain Ubatnya

Salam…

Sepanjang hari sejak semalam saya terus memerah otak kenapa manusia semakin hari semakin bebal dan dihinggapi sindrom aneh seperti ‘Pak Kadok, ‘Lebai Malang’, adu domba dan fitnah yang berakar-umbi dalam masyarakat, pemimpin yang sepatutnya memimpin namun perlu dipimpin dan dipapah serta berbagai-bagai lagi.

2.  Virus ‘bebalisme’ seperti yang diungkap Dr Syed Hussein Alatas menular dengan pantas dan melekat bak gam gajah pada hati dan minda masyarakat. Mungkin hantu Pak Kadok menyerap masuk dalam jasad manusia-manusia yang tidak disuntik imunisasi (ilmu) melalui pembacaan dan kaedah pemerhatian samada dari yang cerdik ataupun sebaliknya sebagai pedoman. Lihat saja Kisah Nabi Nuh yang digambarkan Allah kepada kita. Nabi Nuh telah menyeru kaumnya agar menyembah Allah yang satu dan meninggalkan penyembahan berhala yang sia-sia. Baginda berdakwah siang dan malam  tanpa mengenal putus asa. Malangnya, usaha nabi Nuh tidak berjaya. Hanya beberapa orang daripada golongan miskin dan hina sahaja yang mempercayai baginda sedang yang lainnnya terus menentang Nabi Nuh. Dengan perintah Allah untuk membuat bahtera, beliau menanam pokok jati dan menunggu sehingga 100 tahun sebelum pokok-pokok tersebut boleh diguna. Tiba masanya, Allah menurunkan hujan yang lebat dan memancarkan air dari bawah bumi sehingga menjadi lautan. Ketika itu Nabi Nuh yang cuba membantu anaknya yang sedang menyelamatkan diri dari lemas memanggil untuk dibantu juga menolak atas kedegilan dan kejahilan manusia. Binatang pun turut naik ke Bahtera Nabi Nuh mengikut manusia yang taat pada Nabi Nuh sedangkan manusia itu akalnya di sepatu dan lebih jahil dari binatang.  Jika Nabi Nuh yang berbekalkan bantuan Allah untuk berdakwah ratusan tahun gagal mencapai matlamat termasuk keluarganya sendiri, inikan pula kita manusia biasa nak membetulkan kelompok jahil yang angkuh dan sudah berada di dunia yang hanya melantunkan ungkapan ‘hanya mereka yang betul dan orang lain salah’.

3.   Budaya fitnah dan adu domba pula semakin parah.. Malangnya Melayu itu kuat bersorak, terlalu ghairah pesta temasya, sedangkan kampung telah tergadai, sawah sejalur tinggal sejengkal , tanah sekangkang kera juga mudah terjual. Fitnah dan nista sentiasa menimpa sejak zaman hang tuah dari zaman dahulu hingga zaman sekarang. Di zaman dahulu Patih Karma Wijaya beserta kuncu-kuncunya menabur fitnah ke atas Hang Tuah. Di zaman ini pula, tukang fitnah dan tukang caci  membuat onar .. Kenapalah, dengki dan khianat mereka terhadap Hang Tuah .. Apalah dosa Hang Tuah kepada mereka .. sentiasa diintai segala kelemahan diri untuk dijaja sebagai berita sensasi. Hang Tuah, suatu nama terbilang .. mengangkat maruah Melayu di mata dunia. Tapi, bagi Melayu yang dikuasai nafsu untuk berkuasa,  jasa Tuah tidak dinilai. Itulah Melayu yang tiada jati diri, apa yang dikata orang tentang Melayu betul belaka, tiada usul periksa, diiya belaka.  Maka akhirnya Tuah diarah untuk dikorbankan dan Jebat yang membela terkorban.  Begitu jugalah nasib mereka sekarang yang berusaha untuk menjadi pembela dan pejuang bangsa akan diinjak dan dibelasah setengah mati agar diam dan membatu terhadap kepalsuan dan kebobrokan. Terkadang agak melucukan pabila ‘Pengotor’  yang berlumuran najis akan muncul untuk membersihkan bayi yang masih bersih tanpa dosa dan daki.

4.   Pemimpin yang lemah, tersasar dan berlumuran najis pulak diberi keistimewaan sehingga jika disabitkan kesalahan perlu diberi keistimewaan luarbiasa. Adakah ini keadilan yang ingin diperjuangkan oleh sebuah parti yang cuba menjuarai isu-isu keadilan? Keadilan dan hak bersuara namun parti itu sendiri menghalang demokrasi disuburkan dengan melarang litupan pihak media ataupun membelasah media yang tidak menyebelahi mereka.  namun terdapat juga pemimpin umpama dodol yang lembik dan perlu dipimpin dan dicucuk hidung.. Apakah ciri-ciri pemimpin seperti ini yang perlu diketengahkan untuk memakmur dan memperjuangkan bangsa, agama dan tanahair? Natijah ini tidak lain dan tidak bukan berpunca daripada salah ubat.. Lain penyakit lain pulak ubat yang diberikan.

Marilah sama-sama kita menentukan halatuju bangsa dan tanahair kepada yang lebih jelas dan meyakinkan.

Wallahualam

Pabila murai disumpah Sang Gedembai

1

“Berikan aku 1000 orang tua, niscaya akan kucabut semeru dari akarnya, berikan aku 1 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia” . (Bung Karno)

Naratif

Baru-baru ini rakyat Malaysia digemparkan dengan dakwaan oleh pihak-pihak tertentu yang berusaha menjejaskan reputasi dan imej YAB Perdana Menteri berhubung kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Thaipusam di Batu Caves. Mufti Perak itu sebelum ini dipetik sebagai berkata orang Islam yang merestui dan turut serta dalam upacara keagamaan lain melakukan perbuatan syirik. Kenyataan oleh Mufti Perak yang sebelum ini ditempelak dan diserang oleh kelompok yang sama kini ditelan dengan enak umpama ‘Vanila Coklat’. Serta merta ianya dijadikan modal menyerang siapa saja bermodalkan kononnya fatwa Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria. Ayat suci dan hadis silih berganti diputar-putar untuk mengeksploitasi dan memanipulasikan isu baru yang dijangka mampu meruntuhkan kredibiliti YAB PM. Sesiapa saja yang berusaha menegakkan kebenaran dianggap lemah dan jahil kerana tidak membaca dan memahami fatwa Tan Sri Harussani.

Namun sebaik saja Mufti Perak tersebut menjelaskan bahawa kenyataannya diputar belit pihak tertentu, dan tidak menyalahi hukum…

View original post 203 more words

Doa insan yang teraniaya

Jika kita tergolong sebagai insan yang teraniaya atau disakiti oleh insan lain yang bergelar manusia, tidak kiralah siapa sekalipun insan itu, janganlah sesekali berdukacita. Apabila tergolong sebagai insan teraniaya, kita sebenarnya menjadi insan yang paling beruntung di dunia ini. Apa tidaknya, doa insan-insan yang teraniaya ini tidak ada hijab antara langit dan bumi. Ia akan sampai terus kepada Pencipta, dan dengan izinNya doa-doa tu pasti akan dimakbulkan, tidak kiralah siapapun yang bertindak sebagai penganiaya.

Lihat saja serangan tentera Amerika dan Gabungan negara-negara kuasa besar yang didalangi oleh Israel ke atas negara-negara Islam menyebabkan jutaan nyawa melayang. Nyawa dan maruah umat Islam menjadi begitu murah sekali. Palestin, Iraq dan Afghanistan menjadi mangsa penjajahan mereka dalam keadaan yang sangat tragis sekali.

Kini sampai ketikanya Allah swt menghukum penzalim-penzalim tersebut untuk merasai apa yang dirasakan oleh mangsa kekejaman mereka. Tidak cukup dengan hukuman terhadap masalah ekonomi yang semakin tenat sekarang, dating lagi bencana besar yang tak mampu ditangani oleh mana-mana kuasa sekalipun di muka bumi. Kun Fayakun.. maka jadilah ia.

Berpuluh ribu penduduk di pantai timur Amerika Syarikat meninggalkan kediaman mereka dan pusat peranginan di kawasan itu, semalam ekoran taufan Irene yang menyebabkan lapangan terbang, sistem pengangkutan dan pusat perniagaan ditutup.

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mengarahkan perpindahan penduduk secara besar-besaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan penutupan sistem kereta api bawah tanah di bandar raya itu, manakala Presiden Barack Obama memendekkan percutian musim panasnya untuk kembali ke Washington. Inilah sikap pemimpin utama Negara kafir laknatullah itu setiap kali musibah melanda negaranya pasti ketika sedang bercuti termasuk ketika serangan 11September lalu. Taufan kategori kedua yang bertiup selaju 160 kilometer per jam itu melanda pantai Carolina Utara, semalam sebelum bergerak ke kawasan pantai menuju ke Washington, New York dan Boston. Bandar raya New York yang menjadi kediaman lebih 65 juta orang itu menghadapi ancaman banjir, ribut, bekalan tenaga terputus dan kemusnahan yang dikatakan pakar mungkin mencecah kerugian AS$12 bilion (RM36 bilion). Sementara itu, Bloomberg dalam sidang akhbar semalam mengarahkan perpindahan secara besar-besaran yang pertama penduduk dari kawasan rendah di bandar raya itu yang dihuni kira-kira 250,000 orang memberi amaran bahawa ia adalah perkara hidup dan mati.

Maka dengan itu, janji Allah swt pasti datang. Janji Allah swt bukan janji manusia yang bercabang-cabang dan berbelit-belit. Insaf dan jadikan ia sebagai iktibar agar yang berkuasa dan berpangkat supaya bermuhasabah tentang apa yang kamu lakukan selama ini. Tinggi tidak bermaksud tidak tercapai dan yang kuat tak bermakna kukuh.  Firaun yang berbangga dengan kehebatannya dihukum Allah swt dengan sekeras-keras hukuman agar menjadi tauladan dan iktibar namun manusia tetap manusia yang fitrahnya sentiasa mencabar lagi durhaka. Ketika hukuman dari langit datang, jawatan samada no 1, 2, 3 hingga kemana saja tidak lagi bererti. Jangan lah lupa janji-janji yang diucap dan dilontarkan kepada rakyat kerana pemungkiran janji itu tanda-tanda kemunafikan yang amat dibenci Allah swt. Pilihanraya bukan medan menabur janji dan dan memperbodohkan sesama manusia. Tinggi pangkat dan jawatan tetap dikurniakan dengan satu nyawa tidak lebih walau seinci.

Salam

Ibn Khaldun

ZIARAH RAMADHAN – DI SEBALIK TIRAI BESI

  • Saya baru selesai menonton slot Ziarah Ramadhan – Di sebalik tirai besi di TV 1 sekejap ni. Amat tersentuh dengan penceritaan yang dipaparkan. Seorang wanita yang suaminya tiada pekerjaan sedangkan dia dipenjarakan dengan meninggalkan anak yang masih kecil berumur 10 tahun disebabkan kesalahan menggelapkan wang syarikat yang tak seberapa. Hukuman penjara 3 tahun dan terpaksa meninggalkan anak kesayangan yang masih kecil amat memilukan. Undang-undang tetap undang dan semua rakyat negara ini harus mematuhinya tanpa ada ‘double standard’ hinggakan berlarutan bertahun-tahun dengan menjadikan mahkamah sebagai pentas politik.
  • Apa yang menyedihkan ialah, yang bersalah dengan jumlah tersebut sudahpun melalui detik-detik sukar dan memeritkan sedangkan yang menggelapkan wang jutaan ringgit malahan mencecah hampir billion ringgit masih bebas dengan gelak tawa hanya disebabkan miliki kuasa, jawatan yang tinggi, pengaruh dan wang yang banyak dengan memperalatkan undang-undang . Negara sudah menghampiri dunia kapitalis, yang kaya semakin kaya dan yang miskin papa kedana. Apalah nasib anaknya yang berumur 10 tahun itu dan bayangkan siapakah yang menjaga dan memberi perhatian pada anaknya itu. Yang bersalah adalah ibunya, tapi bagaimana dengan anaknya yang tidak bersalah?
  • Dalam dunia politik, menipu dan menyeleweng serta penglibatan dengan rasuah seperti fenomena biasa saja tanpa ada rasa bersalah yang ditunjukkan. Tanya Syed Atief dan yang lainnya tak kira di pihak mana kita berada, yang salah tetap salah. Abu Ubaid juga banyak mengetahui masalah ini. Yang berada dalam pentadbiran kerajaan juga tahu, semua tahu. Kes rasuah dan penyelewengan termasuk menyeludup bahanapi melibatkan puluhan juta ringgit setahun tetapi siapa yang ambil kisah? Kata Abu Ubaid “ade aku kisah?.  Kerajaan mendiamkan diri seolah-olah membenarkan ianya berlaku. Apa yang mampu mereka lakukan hanyalah ugutan untuk menarik subsidi bahanapi jika kemampuan sudah menemui noktah. Harga barang melonjak berganda-ganda dengan peningkatan harga bahanapi. Rakyat tertekan dan terperosok di hujung dinding menjadi mangsa keadaan. Slogan demi slogan yang menggelikan hati rakyat didendangkan saban hari hingga rakyat lebih memilih mendengar muzik instrumental  tanpa suara kerana mual dengan suara-suara manusia. Semuanya angkara retorika melampau.
  • Ya Allah… Kasihanilah hamba-hambaMu ini. Janganlah kemungkaran sekelumit manusia yang rakus dan kemaruk kuasa dan harta maka yang lain akan turut menerima tempias bencana jika sudah hilang rahmatMu nanti akibat tangan-tangan manusia sendiri.  Ciri-ciri KeQarunan kian terserlah dalam diri pemimpin yang siang malam tangan hanya berusaha mengumpul harta sedang mulut mendendangkan lagu lama rakyat lah diutamakan.  Hidup mesti berprinsip dan bermaruah. Harus hidup dengan satu wajah dan jangan siang berwajah manusia dan malam bertukar menjadi jembalang dengan lidah menjelir bercabang-cabang. Astaghfirullah jauhilah kami dari kehidupan dan manusia seperti ini.

Salam

Ibn Khaldun

Along Bukan Abang Long

Sejak beberapa hari lalu, ucapan dan Salam Lebaran semakin meningkat momentumnya berbalas pelbagai kata-kata dan madah yang terpantul dari rongga fikiran umat Islam sehinggakan menjangkiti yang bukan Islam untuk turut berbuat demikian akibat terpanah aura 1Malaysia. Tak cukup email, facebook, twitter, blog, sms, what’s app msgr, blackberry msgr dan macm-macam lagi application yg membolehkan sesama manusia berhubung. Matlamatnya adalah menzahirkan ungkapan Salam Lebaran dan Maaf Zahir Batin mengikut selera masing-masing. Yang biasanya mengeja tak betul tiba-tiba muncul dengan bahasa yang amat menggerunkan dan ada yang amat petah sekali. Mungkin dengan bantuan rakan, ciplak, “copy paste” dari website dan sebagainya. Apa pun ianya amalan baik mengingati sesama kita khususnya bila perpecahan umat Melayu kian melebar.

Apa yang mencuit fikiran saya ialah bila melihat poster-poster kecil ditampal dengan nombor telefon bimbit tertera pinjaman mudah di batang-batang pokok. Ianya membuat saya memikirkan kita semua bergembira untuk menyambut lebaran sedang masih ramai yang bergelumang dengan hutang dan dikejar Along akibat kesesakan untuk membayar hutang. Ini Along bukan Abang Long atau bapa saudara kita. Ini jerung yang meratah mangsanya tanpa belas kasihan.

Kita dah banyak dengar mengenai peminjam yang menderita akibat perbuatan Along. Mereka boleh bertindak di luar batas kemanusiaan hinggakan sanggup menyiksa dan membunuh peminjam yang tidak mampu melunaskan pinjaman mereka. Kesalahan utama memang di pihak peminjam kerana hanya pandai pinjam wang tapi tak pandai nak langsaikan. Sepatutnya nilai dulu samada mempunyai kapasiti membayar sebelum “putting your head on the chopping board”. Faktor terdesak mungkin menjadi menyebab mengapa ramai peminjam sanggup menggadai nyawa semata-mata untuk mendapatkan pinjaman

Namun tidak harus dilupakan tanggungjawab sebagai pemerintah dan penguasa yang diamanahkan kepada kita. Seperti ibubapa, walau senakal mana anak-anak kita, tanggungjawab sebagai ibubapa tetap ada. Di mana janji keprihatinan pemimpin yang mendahulukan rakyat? Jika wang zakat saja diambil kira, sudah hampir sebahagian besar golongan asnaf tidak terjebak dengan perangkap jerung-jerung ini. Di mana program bantuan golongan miskin dan pinjaman mudah tetapi payah ini? PDRM yang begitu hebat apabila isu Along ini tersebar seperti dijangkiti virus HHTA (Hangat-Hangat Tahi Ayam). Kini apa jadi dengan tindakan terhadap along-along ini? Di Malaysia ini seperti sudah terpahat di kepala rakyatnya bahawa tindakan semuanya mesti disusuli selepas tragedi. Masih segar di mata saya 2 lelaki di rantai seperti binatang oleh along dan disiarkan secara meluas di dada-dada akhbar betapa kejamnya along ini bertindak terhadap mangsa akibat hutang gagal dilunaskan. Saya juga faham perasaan along yang hutang dijanjikan tidak dibayar. Saya berpendirian bahawa sebarang tindakan seharusnya berdasarkan undang-undang dan tidak bermaksud membela golongan yang berhutang sebab saya tidak pun berhutang dengan along untuk saya membenci along. Puncanya adalah tindakan yang tidak konsisten pihak berkuasa serta di mana janji untuk membantu rakyat.. Jika bank boleh memberi kredit mudah dengan caj perkhidmatan yang rendah boleh diperolehi mustahil mereka yang terjebak ini mudah diumpan untuk menjadi mangsa along.

Di hari baik bulan baik ini, insaflah wahai pemimpin, pihak berkuasa, diri saya sendiri dan para sahabat-sahabat semua tentang nasib mereka yang kurang bernasib baik. Tidak mampu membantu dengan wang, bantulah dengan jawatan dan pangkat serta kuasa yang ada untuk memakmurkan bangsa dan negara dan akhirnya agama pasti akan terbela.

Salam

Ibn Khaldun