Category Archives: Politics

Pabila murai disumpah Sang Gedembai

Baru-baru ini rakyat Malaysia digemparkan dengan dakwaan oleh pihak-pihak tertentu yang berusaha menjejaskan reputasi dan imej YAB Perdana Menteri berhubung kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Thaipusam di Batu Caves. Mufti Perak itu sebelum ini dipetik sebagai berkata orang Islam yang merestui dan turut serta dalam upacara keagamaan lain melakukan perbuatan syirik. Kenyataan oleh Mufti Perak yang sebelum ini ditempelak dan diserang oleh kelompok yang sama kini ditelan dengan enak umpama ‘Vanila Coklat’. Serta merta ianya dijadikan modal menyerang siapa saja bermodalkan kononnya fatwa Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria. Ayat suci dan hadis silih berganti diputar-putar untuk mengeksploitasi dan memanipulasikan isu baru yang dijangka mampu meruntuhkan kredibiliti YAB PM. Sesiapa saja yang berusaha menegakkan kebenaran dianggap lemah dan jahil kerana tidak membaca dan memahami fatwa Tan Sri Harussani.

Namun sebaik saja Mufti Perak tersebut menjelaskan bahawa kenyataannya diputar belit pihak tertentu, dan tidak menyalahi hukum syarak serta berkata sebagai seorang pemimpin tidak salah untuk Perdana Menteri bersama-sama dengan bangsa lain dalam perkara yang berkaitan dengan adat, pihak yang umpama merayakan upacara Thaipusam berpunca daripada kenyataan Mufti Perak ini terus berdiam diri umpama batu yang disumpah Sang Gedembai.

Inilah natijah daripada keputusan dan tindak tanduk yang diasaskan daripada emosi yang dicanai daripada virus ketaksuban yang ekstrim ditambah dengan kejahilan duniawi dan maknawi. Sebaliknya erti kejahilan itu dilontar kepada pihak lain yang tidak sealiran dengan mereka ataupun kabilah yang mereka kuasai. Tidak jahil apabila berada di langit yang sama dengan mereka serta memuntahkan najis yang sama seperti mereka. Alim bagi mereka hanya berpusat kepada setinggi mana usaha eksploitasi dan manipulasi ayat-ayat suci Al-Quran demi kerakusan kuasa dan tamak haloba yang tidak berpenghujung. Selainnya adalah jahil tahap pembeli tiket ke neraka dan mereka pula sudah menempah tiket percuma khas untuk mendiami syurga tingkat tertinggi. Astaghfirullah dan mengejutkan sikap dan pendekatan golongan yang hanya istiqamah melabel orang lain sebagai kafir dan jahil dalam ertikata kelompok mereka dengan ditambah intonasi yang amat busuk.

Ya Allah, jauhilah penyakit yang membusuk dan membarah dalam masyarakat sehingga kemerdekaan fikiran, jiwa dan jasad yang dilahirkan merdeka menjadi hamba kepada syaitan yang dicipta tangan-tangan mereka sendiri..

Wallahualam

HNBK

Advertisements

Melayu siapa melayukannya?

Salam…

2. Jika tanaman dan tumbuhan layu dek penafian haknya untuk mendapat cahaya matahari, dibaja dan disiram, maka Melayu juga layu setelah hak-haknya dinafikan. Hak-hak Melayu yang termaktub dalam perlembagaan direntap, dirobek dan dirampas dengan rakus bukan saja oleh bukan Melayu bahkan bangsa Melayu sendiri yang kemaruk dan hilang pertimbangan hanya mengejar tampuk kuasa yang diimpi-impikan walaupun harga yang terpaksa dibayar terlalu menggunung akibat dijangkiti sindrom yang amat berbahaya ini.

3. Suara-suara yang dibangkitkan apakah salah kami dilahirkan bangsa ini dan itu harus dinoktahkan dengan jawapan yang berhemah dan bijaksana bukan bertali arus mengikuti arus deras yang akhirnya melemaskan bangsa sendiri. Pemuda UMNO yang sepatutnya menjadi benteng pejal mempertahankan hak Melayu sebaliknya senada dengan Ketua Pemuda MCA dalam soal biasiswa yang amat mengguris hati bangsa Melayu. “Buat baik berpda-pada, buat jahat jangan sekali” pesan orang lama. Apakah dengan menunjukkan tanda sokongan kepada Ketua Pemuda MCA dalam soal biasiswa itu memperlihatkan kebaikan yang amat sangat dan kejahatan yang menyerlah jika tidak menuruti kehendak tersebut?

4. Sudah banyak yang dikorbankan oleh orang Melayu dan kemunculan personaliti seperti Ibrahim Ali dan Tun M mempertahankan hak-hak bangsa Melayu dianggap sebagai Ultra dan berbaur perkauman sedangkan pencetus isu sebenarnya lebih perkauman daripada kaum itu sendiri. Jika tidak ada orang-orang seperti Ibrahim Ali maka Ibrahim mana lagi yang akan berdepan dengan tuntutan-tuntutan bersilihganti oleh mereka yang tidak Ultra dan tidak perkauman itu? ” Siapa sebenarnya yang Melayu dan lebih Melayu dan siapa pulak yang melayukannya

5. Timbul pulak kami seolah-olah warga kelas dua dan tiga. Siapa yang melabelkan mereka sebagai kelas dua mahupun tiga? Kalau membeli tiket kelas dua dan tiga janganlah merungut tanpa usul periksa dan melihat salasilah serta sejarah yang terpahat sejak sesekian lama yang kini cuba dilupakan dan berselindung atas dasar kesamarataan dan 1 Malaysia. Bila disebut untuk diintegrasikan sekolah dan dihapuskan kepelbagaian bahasa maka banyak pulak justifikasi untuk menidakkannya. Oleh itu, di mana kesamarataan dan 1 Malaysia yang disokong habis-habisan itu melainkan ianya hanya alasan yang hanya menguntungkan diri sendiri dan bukan demi kepentingan negara dan bumi tercinta ini. Sayangi dan kasihanilah anak bangsa akan datang yang terpaksa menanggung beban dan musibah ciptaan tangan-tangan Melayu itu sendiri.

Seperti bunyi pantun ini

Tempat bermain Indera Mengindera,
Bersama dengan hulubalang delapan,
Datang masa rebutlah segera,
Jika tidak putus harapan

6. Rebutlah sisa-sisa peluang yang ada ini untuk mempertahankan nasib dan masa depan bangsa Melayu agar tidak menjadi pengemis di bumi sendiri.. Hanya dengan berbekalkan tiket kewarganegaraan sudah lebih dari cukup mereka menguruskan nasib bangsa mereka inikan pula dengan apa yang ada di tangan Melayu dirampas dengan begitu menjijikkan dengan bantuan algojo yang gelojoh untuk menjadi pemimpin nombor wahid. Wahidkan diri dengan cara terhormat bukan dengan memperjudikan nasib bangsa sendiri. Islam itu amat baik dan amat sesuai tidak kira di bumi mana kita berdiri, duduk dan berbaring jika NUR Allah digunakan sebaik-baiknya. Jangan menang sorak kampung tergadai dan ceti pun akan lari ketika dan saat tersebut.

7. Sayangilah nasib anak-anak dan generasi masa depan di mana ianya berada dalam tangan-tangan kita sendiri samada menjahanamkannya ataupun sebaliknya.. “MELAYU, SIAPA MELAYUKANNYA?”

Hidup Melayu!!!!

Ibn Khaldun